Fadhilat Surah Al-Mulk (Kerajaan)

November 22, 2018

Assalamualaikum semua. 

Kali ni Kak Adah nak share sikit fadhilat atau kebaikan sekiranya kita mengamalkan membaca Surah Al-Mulk.

Surah: Al-Mulk
Juzuk: 29 (surah pertama dalam juzuk 29)
Jumlah ayat: 30
Status: Makkiyah



Fadhilatnya:-

1. Melindungi pembacanya dari siksa kubur
2. Berada di bawah naungan sayap malaikat iaitu mendapat rahmat Allah
3. Di hari kiamat mukanya akan dicerahkan seperti wajah nabi yusuf
4. Dinamakan surah gagah perkasa, pintar lagi cerdik



Storyboard Surah Al-Mulk

Surah ini turun diawal perjuangan dakwah Nabi di Makkah iaitu sekitar tahun ke 3 atau 4 kenabian. Surah ini menggambarkan benar - benar sifat Makkiyah iaitu seruan mengabdikan diri hanya kepada Allah dan tiada sekutu perantara denganNya, percaya pada hari Akhirat sebagai hari pembalasan kepada segala sikap di dunia dan bermulanya hari itu dengan hari kehancuran alam yang sedia ada, jangan sekali - kali mengambil sikap kaum terdahulu ketika kamu diberi lebih belas kasihan daripada Allah. 

Ayat 1 dan 2: Ayat kunci kepada surah ini iaitu kebesaran kerajaan Allah ketika Quraisy memberi tentangan sengit kepada Rasulullah dan pernyataan tujuan penciptaan manusia sebagai sebaik - baik kejadian untuk melakukan sebaik - baik amal (ahsanu 'amalan)dengan prinsip beriman pada wujudnya kematian (kehidupan pertama yang berkesudahan dengan kematian) dan kehidupan (kehidupan kedua yang tiada lagi kematian). Kekuasaan meniadakan apa yang ada dan mengadakan apa yang telah tiada adalah asas terpenting memahami maksud kerajaan dan kekuasaan Allah.

Ayat 3 hingga 5: Mengukuhkan mesej kewujudan alam Akhirat dengan penerangan wujudnya 6 petala langit (unseen world) yang dibina di atas langit dunia (seen world). Pada masa yang sama, ayat 3 - 5 menjelmakan model "ahsanu amalan" dari Allah itu sendiri melalui kesempurnaan penciptaan langit tanpa kecacatan.

Ayat 6 hingga 12: Huraian lebih lanjut pada konsep kehidupan kedua selepas kehidupan pertama dengan mengambil kisah penghuni Neraka yang sangat mengerikan. Pada masa yang sama, ayat 6 - 12 menjawab kebiadapan pertama Quraisy yang menuduh Rasulullah sesat dan tidak diturunkan apa - apa wahyu (yang membatalkan amalan syirik mereka selama ini).

Ayat 13 hingga 18: Menjawab kebiadapan kedua Quraisy tidak pun mempedulikan ayat - ayat Neraka dari Rasulullah, bahkan mula berbisik - bisik secara rahsia untuk melakukan sabotaj pada rencana dakwah Rasulullah. Bagaimana mereka boleh berani merencana kejahatan kepada Rasulullah sedangkan Allah boleh dengan mudahnya merencana kejahatan kepada Rasulullah sedangkan Allah boleh dengan mudahnya merencana kemusnahan mereka di bumi dan membalas secara langsung perbuatan jahat mereka tanpa mereka sedari. Pendekatan "lihat di depan" (langit, bumi, angin) dan "lihat di belakang" (sejarah kaum terdahulu) selepas "lihat di atas" (wahyu mengenai Neraka) sebagai uslub dakwah seterusnya surah ini yang tidak menatijahkan apa - apa perubahan pada Quraisy.

Ayat 19 hingga 24: Menjawab kebiadapan ketiga Quraisy yang mengatakan Rasulullah akan dimusnahkan sendiri oleh berhala - berhala mereka dan sebaliknya berhala - berhala ini akan terus menerus memberikan rezeki kepada mereka. Sungguh mereka lupa bahawa nikmat keamanan dan kemajuan rezeki yang mereka perolehi sekarang di Makkah sekalipun sebenarnya berpunca dari burung - burung yang diutuskan oleh Allah sebagai tentera menyelamatkan Makkah dari Abrahah. Sungguh Quraisy sengaja memilih untuk berjalan seperti binatang, mematikan fungsi akal mereka dan memperbodohkan diri untuk terus menyembah berhala.

Ayat 25 hingga 27: Menjawab kebiadapan keempat Quraisy yang terus menerus mencabar Rasulullah mendatangkan segera kematian (Kiamat) kepada mereka bagi menjustifikasi kemahuan mereka untuk menuduh Rasulullah pendusta dan pengada - adakan cerita.

Ayat 28 hingga 30: Selepas episod jawab - menjawab segala kebiadapan Quraisy dengan "kesabaran" Allah dan RasulNya, maka Quraisy memilih untuk mengatakan kepada Rasulullah dan para Sahabiah "pergi mati kalian semua". Inilah kemuncak penolakan mereka kepada mesej kebenaran yang logik dan selari dengan fitrah dari Rasulullah. Ayat 29 menyatakan jika itulah pilihan nekad dilakukan Quraisy, maka urusan masa depan Quraisy akan diserahkan Rasulullah kepada Allah sendiri. Ayat 30 menutup surah Al-Mulk dengan persoalan membabitkan Quraisy disentak sekali lagi dari mana - manakah asal usul tanah Makkah yang dahulunya lembah kematian yang kering kontang.



MUKMIN PROFESIONAL DARI SURAH AL_MULK

Apakah itu "ahsana 'amalan"? Selain merujuk hadis - hadis yang sahih mentafsirkan dua kalimah ini, kita sendiri boleh belajar dari "cara kerja" Allah.

  1. Bermula dengan menjemput keberkatan. Bacalah bismillah agar meraih "tabarak" yang berganda - ganda.
  2. Bekerjalah seperti mati akan datang pada malam ini atau tidak lama lagi.
  3. Lakukan kerja yang sama berkali - kali sehingga kita menjadi pakar yang kompeten dalam sesuatu bidang.
  4. Selepas siap sesuatu kerja, ulang pandang hasil kerja suapaya tiada sedikitpun kesialapan berlaku. Jangan bekerja seperti melepaskan batok di tangga.
  5. Berikan nilai tambah berbentuk keindahan yang menarik minat orang untuk melihat hasil kerja kita dengan lebih dekat.
  6. Jaga - jaga dari sebarang elemen kerosakan dan kecacatan. Selalu lakukan "maintenance" agar hasil kerja menjadi legasi jangka panjang.
  7. Jaga hati dari penyakit hati berbahaya selepas hasil kerja menjadi kebanggaan ramai.


Moga kita dapat jadikan Surah Al-Mulk sebagai amalan kita setiap hari sebelum tidur.

Saya kreditkan isi kandungan post ini kepada Ustaz Don dan Ustaz Syaari dari Ibrah Paradigm Traning Consultancy sebagai rujukan.


😼Kak Adah
😼Bukan Ustazah
😼Tapi HambaNya yang Lemah

You Might Also Like

0 comments

Flag Counter